Total Pageviews

Monday, April 30, 2012

Lupa lagi....

Semenjak dua menjak ni selalu aje terlupa... lupa tu....lupa ni....mungkin faktor umur yang semakin tuek. Mujurlah jumpa artikel ni dari blog abang raja, mungkin dapat membantu:


Tips Kuatkan Daya Ingatan

Terdapat banyak cara untuk menguatkan daya ingatan kita iaitu ialah amalan membaca Al-Quran (bagi yang beragama Islam), berpuasa dan bersugi. Kata-kata khalifah terakhir Islam daripada Khulafa Al-Rasyidin, Saidina Ali Bin Abu Talib r.a., “Terdapat tiga perkara yang menguatkan ingatan dan menghilangkan balgham iaitu bersugi gigi, berpuasa dan membaca al-Quran.”

Bersugi; zaman nabi-nabi dulu bersugi dengan menggunakan kayu siwak terutamanya kayu zaitun kerana baunya harum dan dapat menghilang penyakit gigi.Banyak sebenarnya kelebihan bersugi;

1) Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

“ Dua rakaat sembahyang dengan bersugi itu terlebih
baik pahalanya daripada tujuh puluh rakaat sembahyang dengan tidak bersugi “.
( Riwayat Muslim )

2) Dapat menajamkan akal.
3) Dapat mencerahkan mata.
4) Melambatkan tumbuh uban .
5) Dapat menggandakan pahala.
6) Dapat mengucapkan Syahadah tatkala hampir ajal.

Berpuasa; selain berpuasa sebulan di bulan Ramadhan, apa kata kita amalkan puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis.


Definisi puasa pula bukannya terhad kepada menahan diri daripada makan dan minum sahaja. Puasa bererti menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari. Bukan setakat itu sahaja, kita juga dikehendaki menahan diri daripada menipu, mengeluarkan kata-kata buruk atau sia-sia, serta bertengkar atau bergaduh. Penglihatan dan pendengaran kita juga hendaklah dijaga.

Membaca Al-Quran;  Al-Quran adalah sebaik-baik bacaan bagi mereka yang beriman, sama ada ketika senang atau susah. Al-Quran adalah kitab suci diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. sebagai satu rahmat yang tiada bandingnya bagi seluruh alam. Penurunannya adalah semata-mata untuk dijadikan petunjuk, pedoman dan pengajaran bagi semua umat manusia di dunia ini
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar (membaca) al-Quran dan mengajarnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)


Jadi, carilah kesempatan untuk membaca Al-Quran pada setiap hari. Kalau boleh, amalkan membaca Al-Quran setiap kali selepas solat Subuh dan selepas solat Maghrib. Awal-awal memang susah nak jadikan amalan, tetapi bila dah jadi amalan, sehari tak baca Al-Quran, rasa serba tak kena. Dan baca sekali dengan tafsirnya sekali ye. Baru faham apa yang dibaca dan meresap ke dalam jiwa.
Daripada Ibnu Umar r.a. berkata, sabda Rasulullah s.a.w, ”Sesungguhnya hati ini berkarat seperti mana berkaratnya besi apabila terkena air, seorang sahabat bertanya, “Bagaimana menghapuskan karat tersebut’? Jawab Nabi s.a.w., "Banyakkan menyebut mati dan membaca al-Quran."


Dan, amalkan juga membaca ayat-ayat di bawah di waktu pagi dan petang.
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Alif, Laam, Miim. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa; Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab “Al-Quran” yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya). Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)

Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.


Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu memyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Ia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. 
Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata): “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya”. Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali”. 
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.

No comments:

Post a Comment