Total Pageviews

Monday, December 27, 2010

RESEPI NASI RENTUNG

Tak dapat diingati ketika bila abah kali pertama membeli periuk nasi elektrik, yang pasti semenjak mendapat bekalan elektrik, satu persatu barangan elektrik yang dibeli oleh abah untuk keselesaan hidup kami sekeluarga. Malah sebelum menikmati bekalan elektrik, abah telah membeli TV kecil menggunakan bateri kereta yang terpaksa dicas setiap hari Jumaat kerana sebelah malamnya ada cerita Melayu yang menjadi kegilaan setiap orang kampung. Apa pilihan yang kami ada ketika itu, kalau tidak menonton cerita Melayu, biar bagaimana teruk pun jalan ceritanya tetap sedap bagi kami sehingga pada hari Isninnya menjadi bahan ulasan sesama kami di sekolah.
Tentang periuk nasi pula, entah barang elektrik keberapa yang dibeli abah, yang pastinya abah akan beli satu persatu, ada yang dibayar cash tapi kebanyakannya secara ansuran. Begitulah keprihatinan abah, ketika orang lain belum berpeluang menggunakannya, abah telah membelinya untuk kami.
Walau pun dah menggunakan periuk 'karan', setiap petang kena jenguk juga isinya untuk melihat cukup atau tidak untuk makan malam. Kalau nasi tinggal sedikit, kenalah topup 2 atau 3 cawan lagi. Oleh kerana malas membasuh periuk, guna sahaja periuk biasa dan masak atas dapur gas. Selepas itu periuk ditinggalkan sehinggalah bau hangit menusuk hidung, bisinglah emak dengan perangai anak daranya. Petua orang tua kalau nasi hangit, letak cili kering atas tudung periuk, "Pah" tua apa nak diikut lagi kalau dengan periuknya sekali rentung.
Perangai buruk itu terbawa-bawa sampailah dah tetua ni, biasanya setakat masak nasi 1/2 cawan, pakai periuk kecil ajalah. Tragedi nasi rentung berulang lagi, semenjak pindah rumah baru tahun 2007, dah tiga buah periuk comel yang rentung. Emak kata rendam dengan pasir, isy tak payah susah-susahlah, tong sampah kan ada.

"Ya Allah, kasihanilah abah dan mak sebagaimana mereka mengasihani aku semenjak kecil"

No comments:

Post a Comment